Polis hanya tumpu sindiket jual bayi bukan ketirisan agensi-Utusan

 

Polis hanya tumpu sindiket jual bayi bukan ketirisan agensi

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Siasatan polis dalam kes penjualan bayi tidak tertumpu terhadap ketirisan yang berlaku di agensi-agensi tertentu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya ia bertujuan membongkar kegiatan penyediaan dokumen kelahiran bayi yang dijual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) menegaskan, dalam siasatan dilakukan, pihaknya juga tidak menuding jari terhadap ketirisan mana-mana pihak.

Menurutnya, siasatan polis setakat ini tertumpu kepada dua perkara iaitu dokumen yang diperoleh untuk setiap bayi dan sindiket menjual bayi berkenaan.

“Polis sedang mengesan bagaimana setiap bayi yang dijual mendapatkan dokumen kelahiran kerana tindakan mereka menyalahi undang-undang.

“Pada masa sama, kita juga sedang menyiasat mengenai sindiket penjualan bayi serta modus operandi yang digunakan mereka. Kedua-dua perkara itu kini masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, polis berjaya membongkar satu kegiatan sindiket jual bayi di sekitar Lembah Klang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Dalam siasatan itu, polis tidak menolak kemungkinan terdapat dalang dalam agensi yang mengeluarkan dokumen kelahiran bayi-bayi.

Berikutan itu akhbar hari ini melaporkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim, menafikan bahawa kakitangannya terlibat dalam sindiket tersebut.

Beliau bagaimanapun meminta pihak yang mempunyai bukti berhubung penglibatan kakitangannya agar tampil memberikan maklumat.

This entry was posted in Adoption, Can you buy children?- Margaret Brazier, Governance and tagged . Bookmark the permalink.