Bakar jerami punca terbesar -Sinar Harian

Bakar jerami punca terbesar

ALOR SETAR – Pembakaran jerami, belukar dan hutan menjadi penyumbang terbesar kes kebakaran di negeri ini apabila menyebabkan 692 daripada 1,940 kes dilaporkan pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Haron Tahir berkata, pada 2009, pembakaran jerami, belukar dan hutan juga tinggi iaitu 523 kes.

“Pembakaran jerami seakan trend selepas menuai padi. Ia bukannya salah kerana dikategorikan dalam pembakaran dengan niat baik. Cuma kenalah pantau supaya tidak merebak.

“Saya harap Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pertanian memberi kerjasama dalam membendung pembakaran tidak terkawal,” katanya kepada media selepas perbarisan tahunan JBPM Kedah dan pelancaran Ops Tahun Baru Cina di sini, kelmarin.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 3,036 panggilan kebakaran dicatatkan berbanding tahun sebelumnya hanya 2,896 panggilan, membabitkan kes kebakaran dan khidmat khas.

“Walaupun panggilan meningkat namun kita bersyukur kerana kes kematian tahun lalu menurun kepada empat berbanding 2009 iaitu 27 kes,” katanya.

Haron berkata, 23 panggilan palsu direkodkan tahun lalu dan jumlah ini berkurangan dibandingkan pada 2009.

Menurutnya, JBPM Kedah juga berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM811,127,516 berbanding tahun sebelumnya RM408,750,920.

“Nilai kerugian tidak jauh berbeza, sebanyak RM44,938,035 dicatatkan tahun lalu,” katanya.

JBPM Kedah turut menerima jentera baru tahun ini, iaitu tiga Rapid Rescue Vehicles, sebuah Breathing Apparatus Tender Vehicle dan enam Proton Arena lengkap dengan peralatan operasi untuk diserahkan kepada pasukan bomba sukarela di negeri ini.

Haron berkata, Ops Tahun Baru Cina yang bermula kelmarin, akan menggerakkan anggotanya meronda di sepanjang lebuh raya mengikut jadual ditetapkan

This entry was posted in Environmental Damage, Pencemaran Udara. Bookmark the permalink.