Usah tolak buta tuli-Zaharuddin Abdul Rahman Harian Metro

Usah tolak buta tuli

DALAM praktis perbankan Islam masa kini, secara jelas boleh dinyatakan bahawa 70 peratus pelanggan yang menggunakan khidmat perbankan Islam di beberapa bank tempatan di negara kita adalah pelanggan yang bukan beragama Islam.
Malah statistik yang hampir sama juga pernah dikeluarkan oleh bank-bank Islam lainnya yang menyatakan kebanyakan pelanggan mereka adalah daripada pelanggan berbangsa Cina dan bukanlah pelanggan Melayu.

Jadi, mengapakah situasi itu berlaku. Mengapa pula ramai pelanggan bukan Islam yang memilih untuk menggunakan khidmat perbankan Islam?

Pastinya ada segelintir akan menyatakan bahawa kumpulan itu lebih banyak terbabit dalam urusan perniagaan dan kerana itulah mereka lebih kerap berurusan dengan bank.

Mungkin ada benarnya pandangan spontan ini, namun orang Cina yang disebut ini bukan hanya melanggan produk perbankan Islam berkaitan dengan pembiayaan korporat untuk perniagaan mereka saja, malah mereka juga menggunakannya untuk pembiayaan perumahan, kereta dan lain-lain produk.

Jelas di sini, kesemua produk yang digunakan mereka ini tergolong dalam kategori produk perbankan pelanggan dan peruncitan yang bersifat sebagai kegunaan individu dan bukannya untuk tujuan perniagaan.

Persoalannya, ke manakah perginya individu beragama Islam khususnya dalam negara kita yang majoritinya beragama Islam.

Perlu diketahui, Islam menerima segala yang baik walaupun ia diperkenalkan oleh kumpulan penjahat seperti Yahudi selagi mana ia boleh diubahsuai bagi manfaat umat Islam.

Demikian kesimpulan berasaskan nas ayat Al-Quran dan hadis yang dihuraikan oleh para ulama silam dan kontemporari.

Dalil ini dapat dilihat menerusi jawapan Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah yang menerima satu ilmu dari Syaitan Ifrit, yang bermaksud: “Ia (Syaitan) itu telah berkata benar, walaupun ia adalah maha pendusta, itulah dia Syaitan. (Riwayat Al-Bukhari)

Pengajaran daripada hadis membuktikan apa saja yang sampai kepada kita oleh sebarang sumber yang bukan Islam khususnya, boleh disemak menurut neraca Islam. Jika tidak bercanggah dan boleh membawa kebaikan, kita sepatutnya menyokong dan bukan menentang secara buta.

Jika benarlah terdapat mereka yang menolak perbankan Islam hanya kerana ia adalah anjuran dan dimulakan oleh pihak kerajaan yang berlainan dengan partinya, maka ia adalah satu sikap yang patut dikesali.

Sering saya sebutkan dulu bahawa perbankan Islam di Malaysia berkait rapat dengan perbankan Islam di seluruh dunia. Ulama Malaysia yang berdamping dengan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia serta mengatur arahnya pula bukanlah kalangan individu yang terbabit dengan dunia politik dan jika ada sekalipun, mereka tidak berpengaruh dalam penentuan hala tuju dan fatwa berkaitan kewangan Islam ini.

Selain itu, melalui hubungan rapat industri kewangan Islam di seluruh dunia, Malaysia tidak boleh terlepas dari penilaian, kritikan membina dan perhatian ulama Syariah dan kewangan Islam di seluruh dunia.

Hasilnya, kritikan membina ulama dunia ini membawa perkembangan baru dalam produk-produk kewangan Islam di Malaysia seperti wujudnya Komoditi Murabahah, konsep ‘Unilateral Promise’ dalam transaksi Forex, Tawarruq Masrafiy, Musharakah Mutanaqisah, Bai al-Mutaradif Bil Ajal dalam Forex, Parallel Istisna dan lain-lain.

Kebanyakan produk, konsep dan kontrak produk Islam ini berlaku di luar pengaruh politik tempatan dan ia biasanya hanya berlaku hasil perbincangan ilmiah di kalangan ahli akademik non-partisan dan pengurus industri dari dalam dan luar negara.

Adapun, beberapa produk dan konsep perbankan Islam di Malaysia seperti Bai al-Inah (jual dan beli semula) dan Bay ad-Dayn (Diskaun hutang perdagangan) yang tidak dipersetujui oleh ulama antarabangsa, tetapi diluluskan oleh kumpulan Ilmuan Syariah Malaysia memang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan politik.

Namun ia dibuat secara sementara dan berdasarkan pertimbangan akademik dan hukum. Sejauh manapun kita tidak menyetujuinya, ia tetap termasuk dalam keputusan akademik dan bukannya fatwa politik.

Namun boleh saya katakan ia tidak berkait dengan produk-produk perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank Islam.

Tolak atas dasar lebih mahal
Ini juga satu persoalan yang amat kerap ditimbulkan sejak dulu tetapi yang nyata, persoalan serta jawapan ini timbul kerana ramai yang tidak mengetahui lebih lanjut mengenai konsep perkhidmatan yang ditawarkan itu.

Mereka yang membuat dakwaan ini sebenarnya membuat perbandingan terhadap dua perkara yang memang tak boleh dibandingkan.

Selain itu, mereka juga tidak memahami cara kiraan kedua-dua sistem antara perbankan Islam dan konvensional, tidak memahami apa itu pecahan kadar bunga akibat pembayaran yang lambat, tidak mengetahui kadar pinjaman dasar dan sifatnya serta memang tidak memahami konsep ‘ibra’ dan syarat pelaksanaannya dalam Islam.

Jadi, apabila ada orang bercakap hal ini namun gagal memahami perkara asas, mereka sebenarnya sedang membuat fitnah kepada Perbankan dan Kewangan Islam sekali gus menunjukkan kecetekan ilmunya berkaitan hal perbankan.

This entry was posted in 'ibra', Bai al-Inah, Bay ad-Dayn, fatwa politik, Islamic Banking. Bookmark the permalink.