Penduduk rimas perusahaan walit- Sinar Harian

JERANTUT – “Kami rimas dengan bunyi bising dan najis burung mencemarkan persekitaran. Kami mahukan PBT ambil tindakan tegas terhadap pengusaha burung walit dalam kawasan bandar,” itulah antara luahan yang disampaikan penduduk ketika berpiket aman menentang penternakan burung walit di daerah ini.

Piket aman itu disertai penduduk sekitar Taman Intan dan pemilik premis perniagaan di taman perumahan terbabit.

Isu itu bukan sahaja merunsingkan penduduk Taman Intan, tetapi turut memberikan ketidakselesaan kepada lebih 2,500 penduduk dari beberapa taman perumahan berdekatan, antaranya Taman Inderapura, Sungai Jan, Taman Sentosa, Taman Damai dan Taman Permai.

Pemilik premis perniagaan Taman Intan, Ng How Chong berkata, dia tinggal di kawasan itu sejak 2005 dan ketika itu hanya terdapat satu perusahaan walit, namun kini bertambah menjadi 11.

Menurutnya, perusahaan walit dilakukan tanpa kawalan menyebabkan berlakunya gangguan bunyi bising, pencemaran persekitaran dan turut menjejaskan kesihatan isterinya.

“Dahulu isteri saya sihat, tetapi selepas semakin banyak walit diusahakan kesihatan isteri saya semakin terjejas. Saya telah membuat laporan polis dan banyak kali mengadu kepada Majlis Daerah Jerantut (MDJ), namun alasan diberikan pengusaha berlesen.

“Pada mulanya mereka beri alasan pengusaha lama yang diberikan lesen, tetapi bagaimana pula semakin banyak perusahaan walit baru dilakukan di kawasan ini?,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Diganggu bunyi bising, najis burung bertaburan

Bagi peniaga makanan, Sabira Tai Abdullah, dia sudah lebih 20 tahun berniaga tetapi hanya sejak kira-kira enam tahun lalu, semakin banyak perusahaan burung walit dijalankan di sekitar premis perniagaan di situ.

Menurutnya, dia terpaksa membersihkan najis burung itu setiap hari memandangkan kebanjiran rumah burung terbabit menyebabkan haiwan itu juga bertambah saban tahun.

“Ada yang berkata laluan sekitar premis perniagaan di sini adalah ‘laluan emas’ burung walit. Pertambahan premis saban tahun membuktikan burung berkenaan sememangnya tahu dan singgah di kawasan yang dibina walaupun masih baru.

“Kita harapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan membantu mengatasi masalah penduduk dan peniaga dekat sini,” katanya.

Bagi pengusaha bengkel, Kwok Cheng Fei berkata, setiap hari dia terpaksa berdepan dengan bunyi bising yang mengganggu ketenteramannya, dan kadangkala bunyi muzik untuk memanggil burung masuk ke sarang tanpa henti.

“Kami benar-benar terganggu. Setiap hari berdepan dengan bunyi bising untuk jangka masa lama. Dulu tidak begini, tetapi enam tahun kebelakangan ini pengusaha walit seakan-akan tidak memikirkan kepentingan penduduk awam,” katanya.

Seorang penduduk, Lee Kim Fook, 50-an berkata, seharusnya MDJ perlu lebih serius menangani rungutan penduduk dan bukan membiarkan walit diusahakan di premis perniagaan.

Katanya, penduduk semakin tertekan dan terbeban, tambahan mereka susah untuk menjemur pakaian akibat terdedah dengan najis burung terbabit.

“Kami penduduk juga bimbang ancaman penyakit kerana takungan air yang digunakan dalam bangunan untuk kegunaan burung boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk yang akhirnya menjejaskan kesihatan penduduk sendiri,” katanya.

PBT sedia batal lesen

Isu berkenaan mendapat perhatian MDJ apabila pihak berkuasa tempatan itu memberi jaminan akan membatalkan lesen pengusaha walit jika laporan mengesahkan perusahaan mereka bermasalah dan menjadi penyebab penyakit.

Setiausahanya, Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata, pihaknya memang ada menerima aduan dan pihaknya sudahpun turun membuat siasatan dan pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan kali kedua dilakukan kelmarin membabitkan Pejabat Kesihatan dan Vaterinar, justeru MDJ masih menunggu keputusan pemeriksaan.

“Jika hasil pemeriksaan mendapati perusahaan tidak menepati prosedur ditetapkan dan menjadi penyebab berlakunya penyakit, PBT tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen yang diberikan sebelum ini.

“Ingin juga dinyatakan di sini, tiada lesen baru diluluskan untuk perusahaan walit di daerah ini. Lesen sedia ada sebanyak 165 dikeluarkan melalui operasi pemutihan, dengan melihat pengusaha walit itu telah beroperasi lebih enam tahun lamanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Norizan berkata, di sekitar premis perniagaan Taman Intan hanya terdapat tujuah pengusaha walit berlesen yang diberikan kebenaran khusus mengikut garis panduan Negeri Pahang 2007 dan kesemua pengusaha itu antara yang terlibat dalam operasi pemutihan PBT.

Menurutnya, tujuan pemberian lesen dalam operasi pemutihan itu supaya PBT dapat menetapkan garis panduan yang perlu diikuti dan jika mereka melanggar peraturan, kompaun boleh dikenakan kepada pengusaha.

“JIka tidak diberi lesen, PBT tiada hak untuk memantau dan mengenakan tindakan, namun tempoh lesen diberikan hanyalah untuk tiga tahun. Selepas tempoh itu pemilik perlu mengalihkan perusahaan di kawasan luar bandar pula.

“Kita harapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama terbaik sementara menanti masalah ini diselesaikan,” katanya.

This entry was posted in Hak Penduduk, Pencemaran Bunyi, Pencemaran Udara, Pihak Berkuasa Tempatan. Bookmark the permalink.