Masalah pembinaan rumah burung walit-Sinar Harian

MUAR – Masalah pembinaan rumah burung walit yang dibina berhampiran kediaman terus berleluasa walaupun pelbagai usaha dilakukan penduduk untuk menyekat ternakan dan pembinaan rumah burung walit.

Terbaru, masalah berkenaan turut dihadapi kira-kira 1,000 penduduk di Taman Jaya Bakri, Bakri, di sini.

Penduduk mendakwa pembinaan rumah burung walit di kawasan kediaman mereka sejak sebulan lalu menimbulkan kebimbangan kerana pembinaannya dilakukan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

Meskipun bangunan tersebut masih dalam pembinaan, tetapi ia menimbulkan rasa tidak selesa penduduk di sini kerana ‘dihidangkan’ dengan bunyi bising daripada rakaman bunyi burung itu yang dipasang baru-baru ini.

Salah seorang penduduk, Abu Bakar Mohamad, 50-an, berkata, sebilangan besar penduduk di sini tidak bersetuju dengan tindakan pengusaha itu membina rumah burung walit di sini.

Menurutnya, pembinaan tersebut sangat tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Saya telah berhubung dengan Jabatan Haiwan dan Veterinar Daerah Muar dan pihak mereka memaklumkan bahawa jarak paling sesuai untuk pembinaan rumah burung walit ialah sejauh 50 meter daripada kediaman penduduk.

“Saya juga ada mendengar rungutan daripada rakan-rakan lain kerana menghadapi masalah kesihatan berikutan ternakan sarang burung walit di kediaman mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pihaknya bimbang masalah seperti itu akan berlaku kepada semua penduduk di kawasan berkenaan dan ia pastinya memberi kesan yang pada jangka masa panjang.

“Saya meminta pengusaha terbabit supaya menghentikan hasrat untuk ternakan sarang burung walit.

“Meskipun ia dibina di atas harta miliknya tetapi janganlah sampai menafikan hak penduduk di sini untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya.

Peniaga, Hasmah Hashim, 49, berkata, dia sangat bimbang sekiranya rumah burung walit tersebut mula beroperasi kelak.

Menurutnya, hal ini kerana banyak masalah akan timbul seperti habuk yang boleh menjejaskan kualiti kebersihan pada perniagaan makanan yang diusahakannya itu.

“Ia secara tidak langsung boleh mengurangkan keyakinan pelanggan untuk berkunjung ke gerai makanan saya ini yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya.

Justeru, dia menggesa pihak yang berwajib supaya memantau kegiatan penternakan sarang burung walit agar ia dijalankan lebih jauh daripada rumah penduduk demi kesejahteraan ramai.

This entry was posted in Hak pemilik harta, Hak Penduduk, Housing policy, Pencemaran Bunyi, Pencemaran Udara. Bookmark the permalink.