Interlok, Goldilock & Goblok -Detikdaily

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=11710

Oleh: Shirzad Lifeboat

‘Sebuah novel adalah sebuah karya kreatif.’ Begitulah sebagaimana yang difahamkan oleh novelis, penggiat dan pengkritik sastera serta audien pembaca yang menjadi pengguna kepada karya kreatif ini.

Namun demikian, karya kreatif tidak selalunya menepati istilah karya seni. Sementara karya seni lebih mementingkan tahap estetika, bermakna indahan bahasa, karya kreatif pula lebih mementingkan ‘pernyataan bebas’ yang kita kenali dalam bahasa Inggeris sebagai freedom of expression.

Ambil sahaja dua buah novel Melayu – satu Imam karya Abdullah Hussein dan satu lagi Senjakala karya Baharudin Khahar. Sementara Imam lebih mementingkan plot dalam gaya penceritaan dan laras bahasa yang lebih bersahaja, Senjakala pula lebih menjuruskan kepada laras bahasa penuh berestetika.

Justeru pengalaman membaca Imam sama seperti pengalaman membaca, katakan, East of Eden karya John Steinbeck dan membaca Senjakala mengingatkan kita membaca The Famished Road karya Ben Okri. Setelah memperkatakan sedemikian, maka boleh disimpulkan betapa Sasterawan Negara Abdull

ah Hussien adalah novelis dalam kategori dan kelas pengarang seperti John Irving, William Styron dan Grace Metalious (sedar menyebut beberapa nama pengarang yang telah menghasilkan karya arus perdana dunia).

Dalam menulis novel Peyton Place (1956), Grace Metalious menggarap adegan pemerkosaan dengan bahasa eksplisit yang boleh dianggap lucah di zamannya sehingga menimbulkan kontroversi di kalangan pembaca.

Namun hal yang sama tidak pula berlaku ke atas William Styron yang menghasilkan novel Sophie’s Choice (1979) walaupun banyak terdapat adegan dan perkataan lucah yang digunakakan oleh karya tersebut.

Seseorang boleh menghujahkan betapa Sophie’s Choice tidak mencetuskan sebarang kontroversi kerana laras bahasanya yang berestetika serta mutu bahasa Inggerisnya yang begitu tinggi tetapi bagaimana pula John Irving yang menulis novel The Hotel New Hampshire (1981) dengan segala bahasa lucahnya serta penggunakan perkataan empat-huruf dengan berleluasa dalam keseluruhan teks. Walaupun laras bahasa Inggeris yang digunakan oleh Irving dalam novel tersebut boleh dianggap sekadar, ‘bolehlah’, namun ia sedia diterima oleh pembaca tanpa sebarang kontroversi atau malahan kritikan ke atas penggunakan perkataan sedemikian. Malah novel tersebut dianggap oleh dunia sastera antarabangsa sebagai antara novel arus perdana dunia.

Justeru dalam sebuah masyarakat khalayak pembaca yang paling termaju dan terbuka seperti Amerika Syarikat sekalipun, interpretasi dan penerimaan sastera adalah tertakluk kepada budaya, kehendak, dan sensitiviti sesuatu zaman.

Penolakan dan penerimaan ini tidak ada kena-mengena dengan persoalan sama ada sesuatu novel itu ‘bagus atau pun tidak’ tetapi ia lebih menjurus kepada pelbagai aspek sesebuah novel dan adakalanya apakah matlamat penyebaran sesuatu karya itu.

Malaysia sebagai sebuah negara yang tidaklah begitu terkehadapan dalam sasteranya, terutamanya dalam erti kata kerencaman tema dan pelbagai aspek novel sudah tentulah lebih sensitif terhadap penerimaan sesebuah karya genre ini. Lihat sahaja sikap sesetengah pihak terhadap penerbitan novel Shit (1999) karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad atau Maharaja Beruk (1988) karya Yahaya Ismail. Novel ini diinterpretasi oleh sesetengah pihak sebagai karya satira yang menghentam sesuatu pihak sehinggakan mereka yang makan cili terasa pedas cuba melakukan sesuatu untuk mengharam atau setidak-tidaknya menghalang dari lebih ramai audien pembaca dari membacanya. Namun demikian bagi sesetengah yang lain Shit dan Maharaja Beruk hanyalah sebuah karya kreatif.

Namun dalam kes kedua-dua karya ini kemarahan yang tercetus hanyalah di kalangan pemerintah yang merasakan mereka disindir secara tajam. Perbalahan di antara pemerintah dengan pihak berhaluan kiri adalah biasa dan tidak semestinya boleh mengakibatkan kekacauan sosial.

Tetapi dalam sesebuah novel seperti novel Interlok karya Abdullah Hussein, pihak yang merasa tersindir dan terhina bukan lagi di antara pemerintah dengan gologan berhaluan kiri tetapi menghiris ke dalam fabrik sosial masyarakat majmuk Malaysia. Sementara pengarang tidak bermaksud penghinaan bersifat rasis tetapi ia seolah-olah meletakkan taraf satu kaum sebagai lebih agung dari sesuatu kaum yang lain.

Walaupun pada dasarnya apa yang cuba digambarkan oleh Abdullah adalah keadaan perjuangan pra-kemerdekaan yang saling mengunci antara satu kaum dengan satu kaum lain, dalam laras bahasa bersahaja dan ikhlas beliau, namun ia sudah tentu mengundang sensitiviti kaum yang terlibat.

Sementara rakyat Malaysia dari pelbagai kaum boleh menerima betapa Interlok hanyalah sebuah novel sejarah yang cuba menggambarkan kehidupan dalam sesuatu tempoh masa menerusi gambaran setepatnya, namun apabila novel seperti ini dijadikan bahan bacaan wajib sastera sekolah, maka interpretasinya sudah menjadi berbeza.

Oleh itu, tidaklah salah sekiranya rakyat bukan-Melayu merasakan seolah-olah terdapatnya agenda tertentu mengenai keputusan Kementerian Pendidikan mendidik rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dengan memperkenalkan elemen-elemen negatif yang seolah-olah bersifat rasis ini.

Tidaklah jelas sama ada mereka yang bertanggungjawab mengusulkan novel Interlok ini kepada pihak berkuasa Kementerian Pendidikan sedar adanya implikasi semacam ini. Tapi apa yang jelas, tidak banyak pertimbangan yang dibuat sebelum keputusan dibuat.

Mungkin mereka yang terlibat akan menghujahkan bahawa sesebuah karya sebenarnya tertakluk kepada interpretasi pembaca. Sementara kita boleh memperakui set-minda seperti itu, tetapi kita harus juga berhati-hati terutama apabila ia melibatkan cita-cita pengkukuhan antara kaum atau solidarity di peringkat nasional. Kita sudah tentu tidak mahu halangan-halangan seperti ini.

Sekiranya alasan hanyalah menjurus kepada intepretasi pembaca, maka perjuangan sebuah kuasa koloni terhadap tiga kaum di sebuah negara sebagaimana dalam Interlok samalah seperti perjuangan seorang budak perempuan dengan tiga ekor beruang dalam cerita Goldilocks.

Justeru tidak salah juga kita menakrifkan interpretasi seperti ini sebagai sesuatu yang bersifat ‘goblok’. Jika tidak begitu, Kementerian Pendidikan sudah tentu memilih karya lain – terutama dalam kesibukan mencernakan gagasan 1Malaysia.

This entry was posted in Freedom of Expression, Freedom of Speech. Bookmark the permalink.