Tentang pilihan raya kecil-Sinar Harian

Tentang pilihan raya kecil

oleh RAHMAN SHAARI
1/25/2011 6:55:55 AM
Pada tahap awal 2011, ada beberapa pilihan raya kecil, sekurang-kurangnya tiga. Pilihan raya kecil ini berguna bagi kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang. Kedua-dua pihak dapat mengukur kemampuan dan populariti masing-masing. Untuk parti politik, itu sahajalah faedahnya.

Kempen pilihan raya kecil seharusnya tidaklah terlalu berat. Memadailah kempen itu memuatkan pengenalan calon, dan bercakap sedikit banyak tentang dasar parti.

Penyokong-penyokong dari pelbagai tempat tidak perlu datang berkampung, kerana pilihan raya kecil bukanlah satu persembahan kesenian, dan bukan juga menyamai perlawanan bola sepak. Mereka dapat mengikuti pilihan raya kecil dari jauh, kerana pada hakikatnya, dalam hal ini jauh dan dekat sama saja.

Nama pun pilihan raya kecil, jadi buat kecil-kecilan sudahlah. Kenduri masuk jawi tidak perlu sebesar kenduri kahwin. Kedatangan sejumlah besar peminat pilihan raya kecil atas nama ‘perjuangan’ eloklah dihentikan, kerana tiada ‘perjuangan’ di tempat-tempat itu, yang ada, selain kempen yang bagus untuk memaparkan kehebatan pidato, ialah kegiatan kata-mengata untuk mencipta dosa.

Pilihan raya Tenang misalnya, eloklah diadakan untuk orang Tenang sahaja, dan tidak perlu diganggu orang yang tidak tenang.

Saya memikirkan hal ini sejak beberapa tahun lalu. Perkataan ‘pilihan’ adalah ringan. Pilihan bukannya pergaduhan, bukannya perebutan. Perbuatan ‘memilih’ kita lakukan setiap hari, misalnya memilih ikan di pasar, dan baju untuk dipakai. Orang Tenang akan memilih antara Mohd Azahar Ibrahim dan Normala Sudirman, dan apabila salah seorang daripadanya menang, maka cerita pun tamat seperti biasa.

Suasana kembali lengang. Satu hal yang elok apabila diadakan pilihan raya kecil (bagi pihak tertentu) ialah majunya perniagaan di tempat-tempat berkenaan. Kemajuan itu untuk beberapa hari. Adakah itu tujuan utama manusia berkumpul di satu-satu tempat yang ada pilihan raya kecil? Itu bagus bagi peniaga, tetapi apakah pula kebagusan bagi pihak yang datang beramai-ramai itu?

Laporan tentang permusuhan antara dua pihak selalunya menyedihkan. Perbuatan membakar bendera parti misalnya, amat buruk. Dalam dekad 1970-an dulu, yang sering berlaku ialah perbuatan mengoyak poster. Sesetengah orang, dalam mengupas hal ini, mengatakan ‘kita belum matang’.

Sebenarnya, bukan belum matang. Sesetengah orang memang suka berbuat begitu, kerana naluri untuk buat kacau sudah tersedia sejak kecil. Lihat saja perlawanan bola sepak, bukankah berlaku perbuatan merosakkan harta benda, melemparkan objek dan lain-lain?

Jika dalam perlawanan bola sepak yang hanya mengenai objek bulat berisi angin, ada pihak menunjukkan kemarahan bukan-bukan, maka pilihan raya lebih-lebih lagi. Jika dalam perlawanan bola sepak, orang ternanti-nanti bola memasuki gol, dalam pilihan raya kecil orang ternanti-nanti keputusan siapakah akan memasuki dewan.

Jadi yang diharapkan ialah perbuatan masuk! Masuk gol terhenti di situ, masuk dewan ada elaun. Tulisan ini bukanlah bermaksud menghalang orang ke tempat-tempat pilihan raya kecil. Kita semua tahu bahawa peminat bola sepak dan peminat pilihan raya kecil ingin menikmati proses. Jika mereka duduk di rumah, keputusan perlawanan bola sepak dan keputusan pilihan raya kecil akan diketahui juga. Orang yang bekerja di televisyen dan di radio sama-sama bergelora untuk menyampaikan berita siapakah yang menang! Orang akhbar pun begitu, cuma akhbar menyampaikan berita lewat sehari.

Dapat dikatakan sesiapa yang bersusah-susah pergi ke Tenang pada masa ini ialah peminat proses. Mereka ingin menikmati keseluruhan rangsangan, bermula peringkat introduksi, kemudian pertengahan dan seterusnya puncak. Orang berada di rumah masing-masing hanya ingin mengetahui keputusan, iaitu mereka menikmati puncaknya sahaja.

Walau bagaimanapun, jika orang yang di rumah memilih untuk menikmati proses, masih boleh. Sebagai contoh, dalam peringkat proses ini, kita mendengar pandangan Salahuddin Ayub. Ini menarik, dan ini ialah betul-betul politik. Jika dalam pilihan raya yang lalu, Pas melarang wanita menjadi calon berasaskan ayat al-Quran membawa pengajaran “kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita.” (Ayat 34 Surah An-Nisa), kali ini wanita dicalonkan untuk memimpin rakyat Tenang.

Menurut Salahuddin, ajaran Islam yang tidak mungkin berubah ialah tentang solat, puasa dan akidah. (Berita Harian, 24 Januari 2011), yang lain manusia boleh fikir-fikirkan. Politik memerlukan kecerdikan. Orang politik ialah orang cerdik. Memang agak banyak kritikan daripada Barisan Nasional, mengatakan Pas tidak tetap pendirian. Sekejap melarang perempuan menyertai pilihan raya, pada masa lain dicalonkan pula.

Sebenarnya, dalam politik, berubah-ubah pun pendirian juga. Itulah sebabnya sesetengah antara mereka berubah-ubah parti, melompat dari parti ke parti, kerana perbuatan melompat juga adalah hasil satu pendirian. Pihak yang suka melompat mempunyai hujah: Jika terus berdiri, lenguh, maka lompatlah.

Tanpa pergi ke Tenang, kita telah membaca proses, iaitu laporan akhbar. Kita boleh mengikuti proses tanpa ke sana, cuma prosesnya bersifat sekunder. Pandangan Salahuddin penting untuk difikirkan golongan feminis. Salahuddin mengiktiraf sebarang tindakan kesesuaian dan peredaran masa, dan oleh yang demikian, tentulah wanita juga boleh diberi hak untuk menjadi Perdana Menteri. Jika kita pergi jauh, kita akan mendapat fikiran bahawa Datuk Seri Wan Azizah, atau lebih-lebih lagi puterinya, mempunyai peluang! Jika kita berada di Tenang, bukan semuanya kita ketahui.

Sama sahaja jika kita berada di rumah. Jadi, makna proses yang disebutkan di atas hanyalah berada dalam teori. Jika kita ke tempat kempen A, kita terlepas kempen B. Akhirnya, media massa juga yang diperlukan.

Kita mengetahui MCA meminta agar pihak DAP melukiskan gambaran matlamat Pas melalui akhbar. Kita mentafsirkan makna gesaan MCA itu, kerana kita sedia tahu makna dasarnya.

Mengapakah DAP menyokong Pas yang berazam menubuhkan negara Islam, sedangkan DAP amat kukuh dengan pendirian sekular? Semua ini berada di tahap perbahasan, dan rakyat yang mengundi di Tenang tidak akan memikirkannya, kecuali beberapa orang yang menyukai teori.

Kesimpulan daripada bicara ini – saranan saya – sesiapa yang mahu ke tempat-tempat pilihan raya kecil, pergilah dengan semangat kesukanan.

This entry was posted in Pilihanraya Kecil. Bookmark the permalink.