Surat hak milik dalam sehari-Utusan

Surat hak milik dalam sehari

 

 

MARAN 21 Jan. – Projek Inovasi Pengurusan Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Maran berjaya melakukan proses pentadbiran yang mudah serta disenangi masyarakat sekitarnya apabila mengeluarkan surat hak milik sementara dalam tempoh sehari.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, kejayaan dan keupayaan pejabat itu dalam melaksanakan tugas tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan.

“Pencapaian itu mencatatkan rekod pentadbiran terbaik kerana membuktikan komitmen bersepadu pegawai dan kakitangan jabatan itu dalam memudahkan urusan pelanggan,” katanya selepas majlis pelancaran pengeluaran surat hak milik sementara dalam tempoh satu hari di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Maran, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mahu program itu dapat dilaksanakan secara berterusan dan konsisten di negeri ini.

Katanya, kecekapan pegawai mematuhi prosedur tersebut akan mengurangkan masalah dan rungutan orang ramai yang berurusan di jabatan berkenaan.

“Pengalaman ketika berurusan di Pejabat Daerah dan Tanah Maran patut dijadikan satu pengalaman baru dan menyeronokkan kepada pelanggan,” katanya.

Mohd. Sidek berkata, penambahbaikan pada sistem penyampaian perkhidmatan amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar serta strategi pembangunan.

Beliau juga mengingatkan penjawat awam supaya komited dan meningkatkan lagi sistem penyampaian bagi mencapai tahap yang terbaik.

“Projek inovasi itu bertepatan dengan saranan Perdana Menteri supaya pelaksanaan agenda Inovasi Negara lebih praktikal serta mampu memberi impak bermakna dan dekat di hati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, usaha Pejabat Daerah dan Tanah Maran harus dipuji dalam usaha melakukan proses pengeluaran surat hak milik sementara dalam tempoh sehari.

Beliau berkata, projek inovasi melalui Kumpulan Inovatif dan Kreatif jabatan itu ternyata memberi kesan positif dalam memenuhi kepuasan pelanggan.

“Warga jabatan tersebut sangat gembira dengan pencapaian itu kerana secara langsung menjadi model terbaik kepada pejabat daerah lain di negara ini.

“Sasaran untuk mengurangkan tempoh masa pengeluaran surat hak milik sementara daripada satu hingga tiga tahun kepada hanya sehari telah tercapai,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib, beliau memuji pencapaian luar biasa jabatan itu yang mendorong Ketua Setiausaha Negara hadir melancarkan program itu.

Katanya, dalam hal itu, orang ramai harus mengambil peluang berurusan dengan jabatan itu bagi mendapatkan perkhidmatan cekap dan mesra.

“Saya mahu semua permohonan tanah mesti mematuhi pelbagai prosedur yang ditetapkan supaya tindak balas dapat dilakukan dengan efisien,” katanya.

ADUN Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil menyifatkan jabatan yang diterajui Datuk Fadzilla Salleh dan dibantu Ketua Penolong Pegawai Daerah, Khairur Rizal Ramli cekap dan berpandangan jauh.

Katanya, pencapaian itu kini menjadi bahan rujukan jabatan daerah lain yang perlu bersedia mengekalkan reputasi sedia ada.

Dalam pada itu, ADUN Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin mengakui lonjakan urusan pentadbiran jabatan tersebut dapat mewujudkan daerah yang maju, harmoni, menarik dan dinamik.

Katanya, masyarakat desa khususnya warga emas perlu mengambil peluang ini untuk memperbaharui mana-mana geran tanah kepada yang lebih baru dan selamat.

Bagi Khairur Rizal, orang ramai tidak harus keliru dan menganggap bahawa tempoh satu hari itu termasuk hari pertama memohon tanah dan terus lulus.

Katanya, apa yang dimaksudkan adalah geran dikeluarkan terus pada hari sama selepas pembayaran Notis 5A setelah mematuhi peraturan ditetapkan.

“Prosedur permohonan lain seperti siasatan tanah oleh pegawai, kemudian di angkat ke Jawatankuasa Tanah, Pejabat Tanah dan Galian dan pihak berkuasa negeri adalah kekal,” katanya.

This entry was posted in Undang-undang Tanah and tagged . Bookmark the permalink.