Kebebasan akhbar, pengalaman Said Zahari-Salmiyah Harun dan Anis Nazri-Harakah

Kebebasan akhbar, pengalaman Said Zahari
Salmiyah Harun dan Anis Nazri   
Biarpun menghadapi pelbagai rintangan khususnya daripada penguasa, namun tuntutan untuk memiliki kebebasan asasi itu tetap ada. Hal ini dialami sendiri Said Zahari, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Said, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu. Pengalaman pahit manis Pak Said sebagai wartawan sehingga tercetusnya peristiwa bersejarah mogok Utusan Melayu 1961 sering dijadikan rujukan oleh para pejuang kebebasan akhbar negara ini.Peristiwa mogok Utusan itu menjadi batu tanda perjuangan kebebasan media. Walaupun gagal dan sekali gus menguburkan prinsip kebebasan akhbar berbahasa Melayu, para pejuangnya termasuk Pak Said, tetap dikenang hingga kini.

Apa yang mengecewakan, bermula detik itu, perjuangan menuntut kebebasan akhbar tidak lagi menjadi agenda utama kepada penulis dan wartawan selepas zaman itu. Apa yang ada, cuma sambutan bagi meraikan Hari Kebebasan Akhbar yang disambut pada 3 Mei setiap tahun.

Seperti dikatakan seorang pemimpin kesatuan wartawan tanah air bila diterjah soalan tentang kebebasan media: “Ia bukanlah prioriti kami, kerana keutamaan sekarang adalah soal gaji, faedah dan segala yang berkaitan dengan periuk nasi golongan wartawan!”

Setiap 3 Mei, penghargaan kepada tokoh wartawan, seminar dan dialog itulah yang diraikan bila menyambut Hari Kebebasan Akhbar. Agenda kebebasan itu sendiri sudah terkubur akibat desakan dan pemantauan daripada pimpinan tertinggi kerajaan.

Ini secara tidak langsung menyekat wartawan daripada menyatakan kebenaran seterusnya menjadikan wartawan itu seperti ‘kerbau yang dicucuk hidung’.

Pak Said yang berpengalaman luas mengalami dilema ini ketika bekerja di Utusan Melayu. Ikuti temubual wartawan SALMIYAH HARUN dan ANIS NAZRI mengenai pandangan Pak Said berhubung kebebasan media pada hari ini.

Apakah kebebasan akhbar benar-benar wujud di Malaysia?

Orang tidak banyak memperkatakan hal kebebasan akhbar, malah wartawan dan pengamal media sendiri tidak banyak cakap tentangnya. Setahun sekali disambut hari kebebasan akhbar. Pada hari itu semua orang bercakap tentang kebebasan akhbar melalu seminar, forum. Hanya hari itu sahaja. Selepas itu orang tidak bercakap lagi. Kebebasan ini dinafikan kepada wartawan dan akhbar itu sendiri. Soalnya kenapa?

Ini menghairankan juga. Tiada wujud lagi soal perjuangan kebebasan akhbar. Pengamal media pun jarang menulis soal itu. Bila pengarang menulis atau menyentuh dasar kerajaan nanti ada orang telefon, ada orang bagi nasihat, ada orang bagi amaran, ataupun mengugut. Dan pengamal media yang mengalami tekanan hanya akan simpan dalam hati.

Mereka tidak keluarkan, mereka tidak mengajak rakyat. Ini cukup berbeza dengan zaman zaman dahulu. Waktu saya memimpin Utusan Melayu, apabila timbul hal-hal begini, saya akan beritahu rakyat. Sebab kita orang surat khabar mencerminkan pemikiran rakyat. Kalau rakyat tak tahu apa yang sebenarnya kita buat dan berlaku, kita tak tahu pandangan rakyat sebenarnya.

Waktu saya dulu, apabila ditekan atau terima ugutan, saya tidak akan berdiam diri. Mula-mula saya akan berbincang dengan kawan-kawan, kemudian mencari jalan macam mana pembaca tahu hal ini. Sama ada menerusi pemberitaan ataupun penulisan ataupun mengarang. Ini supaya rakyat tahu tekanan yang dihadapi seorang pengarang yang dipertanggungjawabkan.

Apa perbezaan nyata akhbar dahulu dengan sekarang?

Sekarang tidak ada surat khabar rakyat; semua menamakan dirinya akhbar arus perdana. Ia tidak lagi merupakan surat khabar bebas dan dimiliki parti politik ataupun dikuasai kerajaan.

Pengarangnya dengan sendiri tertakluk kepada kemahuan pemilik ataupun patuh kepada dasar kerajaan. Biasanya wartawan dalam situasi itu menjadi lemah semangat kerana pemikirannya tertakluk terutamanya kepada mereka yang di atas (superior), iaitu pengarang, ketua pengarang, dan editor. Mereka inilah yang menentukan corak surat khabar itu.

Mungkin pemberita yang balik dan buat berita menulis berdasarkan apa yang mereka lihat, apa yang mereka tahu dan perkembangan yang mereka ikuti. Tetapi apa yang mereka tulis tidak semestinya dimasukkan. kerana ia ditapis satu persatu.

Kebebasan perlu ada dalam diri pengamal media. Diri mereka sendiri mesti telus. Kalau medianya bebas tetapi pengamalnya takut menulis yang benar, dia akan takut untuk membongkar kemungkaran. Kalau mindanya begitu soal ini (kebebasan akhbar) tidak timbul.

Tetapi mereka juga takut kerana tekanan dari pihak lebih tinggi.

Jadi apabila dari ketua pemberita, ketua editor, sub editor, dipantau dan ditekan, menjadikan jiwa mereka lemah dan tidak berani. Padahal kalau kita berani kita dapat menulis tanpa takut. Jiwa wartawan tidak harus terkongkong.

Inilah sebenarnya kebebasan akhbar. Pengamal harus bebaskan dulu mindanya. Sebagai wartawan Harakah, kita menulis dengan memikirkan sama pembacanya. Tulisannya harus mencerminkan pandangan rakyat bukan pengikut atau ahli PAS sahaja. Ini penting.

Kalau kita menghendaki kebebasan akhbar dan hak menyebarkan informasi, maklumat, pandangan, kritik dan sebagainya, tulisan kita harus menggambarkan hasrat seluruh rakyat. Malangnya akhbar arus perdana hanya mencerminkan pandangan kerajaan. Mereka turut menutup ruang langsung untuk pandangan orang lain. Pandangan pembangkang dan NGO jika bertentangan polisi kerajaan, akan dikutuk.

Kalau pemimpin pembangkang buat kenyataan mereka tidak siarkan. Kalau ada pun ala kadar sahaja. Misalnya Anwar Ibrahim buat kenyataan tentang masalah besar dalam kerajaan, media buat tak nampak. Kalau saya tak baca Suara Keadilan ataupun Harakah, saya tak tahu langsung perkembangan sesuatu isu.

Apa untungnya kerajaan menyekat media melaporkan berita-berita yang sebenarnya akan menguntungkan rakyat dan negara ini?

Ia sebenarnya akan merugikan kerajaan. Kerajaan harus tahu masalah dan pemikiran rakyat. Kita jangan takut kepada isu. Bagi wartawan, mereka harus ada keinginan untuk mencari kebenaran. Seperti Harakah, kena hebahkan supaya rakyat tahu bahawa kepimpinan partinya baik, matlamatnya bagus. Fokus harus kepada kepentingan rakyat.

Saya dahulu banyak menceritakan tentang kemiskinan, perjuangan rakyat bawahan seperti kaum petani, pekerja, kerani, kerana kita mewakili mereka. Pemikiran itu harus kita sampaikan menerusi akhbar supaya diambil berat kerajaan. Supaya mereka tahu inilah kehendak rakyat. Inilah tangisan rakyat. Dari segi keseluruhan, kepentingan rakyat harus diutamakan.

Alhamdulillah, sekarang, hasil perjuangan orang terdahulu kerajaan tidak lagi boleh menutup mata. Mereka kena cari jalan. Sudah ada tanda-tanda mereka akan tertekan dan tekanan inilah yang harus dilakukan akhbar, bagi memberikan pandangan berbeza.

Walaupun bagi akhbar yang dimiliki parti tetapi mereka harus juga menyebarkan maklumat kepada seluruh rakyat. Kita tidak suka media arus perdana hanya mementingkan orang Umno, MCA dan MIC. Saya juga kesal apabila membaca media pembangkang, soal perjuangan rakyat disiarkan, tetapi media arus perdana langsung tidak siarkan. Sepatutnya mereka boleh siarkan demi rakyat. Kerajaan jangan nafikan hak rakyat untuk bersuara.

Misalnya kita juga hendak tahu apa yang dibuat pembangkang. Orang-orang Umno juga mesti tahu apa yang dibuat pembangkang melalui akhbara arus perdana.

Semasa di Utusan dahulu, bagaimana Pak Said menghadapi tekanan pemerintah?

Saya masih terus menceritakan kebenaran walaupun terus-terusan menghadapi tekanan pemerintah. Ia berbeda dengan pengarang media arus perdana masa kini yang hanya ikut telunjuk pemerintah.

Sebaiknya kita berbalik kepada sejarah. Dunia kewartawanan dahulu jauh berbeza, ertinya hukum hakam terhadap hal-hal kewartawanan, penulisan dan akhbar, kebebasan bersuara dan menulis sudah lain. Dunia yang lain. Jadi saya bernasib baik dapat hidup di kedua-dua dunia ini.

Selagi saya di sana sebagai pengarang, macam mana sekalipun mereka mengadakan tekanan dan ugutan, semua itu saya ketepikan. Apa yang saya fikirkan adalah tugas saya sebagai wartawan. Saya harus berkhidmat terutama sekali kepada pembaca, rakyat dan kepada negara. Kalau kita berkhidmat untuk negara, tapi kepentingan rakyat kita abaikan, sebenarnya kita bertentangan dengan niat kita kepada negara tadi.

Saya tak fikir pengamal media sekarang, kebanyakannya ada kelulusan – tidak sama macam saya dahulu – tidak tahu apa tujuan sebenar profesyen wartawan. Dan mereka tidak mungkin tak sedar apa halangan yang mereka hadapi menyebabkan jiwa wartawan mereka tersekat. Menyedari ada tekanan dan banyak sangat halangan, jadi mereka tulis yang lembut-lembut sahaja. Maknanya minda sendiri tidak bebas. Kalau kita bebaskan minda, kita akan ketepikan halangan itu.

Dahulu saya pernah dipanggil Tun Razak (Timbalan Perdana Menteri) dan ditegur sendiri oleh beliau. Malah bukan saya mendengar kritikan mereka saja tetapi saya jelaskan kedudukan sebenar apa yang saya lakukan. Bagi saya, ini adalah untuk kebaikan kerajaan. Sebab apa-apa hal yang berlaku dan rakyat tidak senang hati, kerajaan akan terjejas.

Tapi apabila sampai satu tahap, mereka sudah tidak boleh terima sebagaimana yang berlaku pada Utusan tahun 1961.

Kalau saya sendiri mengongkong minda saya kebebasan akhbar tidak dapat diamalkan. Kebebasan akhbar itu harus ada dalam minda pengamal media dari wartawan, pengarang dan ketua pengarang. Di zaman saya bukan seorang sahaja yang melawan arus tetapi keseluruhan orang berkongsi pendirian yang sama. Bukan wartawan sahaja malah pekerja di bahagian pentadbiran mahukan kebebasan akhbar.

Dunia sudah berubah. Kewartawanan dulu dengan sekarang jauh beza. Dulu wartawan bersatu di bawah satu kesatuan. Waktu itu sayalah ketua yang pertama di bawah kesatuan tahun 1958, Persatuan Wartawan-Wartawan Melayu.

Kalau diceritakan sekarang, baik Persatuan Wartawan Melayu (PWM) ataupun Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) tidak pernah menyebut tentang kebebasan akhbar; tidak pernah menganjurkan sesuatu program untuk memperkatakan tentang kebebasan akhbar.

Persatuan Wartawan Melayu, entah apa yang dibuat. Tiap-tiap tahun ada sambutan, bagi hadiah, anugerah, pangkat. Itu saja tiap-tiap kali ada sambutan. Isytihar tokoh kewartawanan. Selain itu, tidak ada apa-apa pengisian dalam sambutan itu.

Sekarang kita ada NUJ. Persatuan Wartawan Melayu tak payah sebutlah, tidak wujud sebenarnya. Wartawan sekadar wartawan saja ,tiap-tiap bulan tunggu cek datang. “Janganlah, tak payahlah nak susah-susuh fikirkan tentang perjuangan rakyat. Ah! Cukuplah.”

Apakah wartawan pada hari ini tidak ada kualiti dari segi penulisannya, kreativitinya berbanding wartawan di zaman dulu?

Hukum-hakam jauh berbeza tapi seluruh minda wartawan menjadi lemah dan tidak lagi kreatif. Padahal wartawan perlukan minda yang kreatif, jiwa yang kreatif. Kalau awak buat laporan dan awak berjiwa kritis terhadap apa yang berlaku, wartawan akan tulis lebih daripada apa yang kita nampak. Sekarang semangat kritis itu sudah tidak ada lagi.

Begitu juga dengan sastera. Umpamanya apabila menulis cerpen, novel untuk memasuki sayembara, dapat anugerah. Zaman Usman Awang, Ashraf, Hj Wahab, penulisan mereka amat kritis, tapi bukan bererti menentang kerajaan saja. Kritis daripada pandangan sosial apabila menulis tentang kehidupan rakyat.

Sekarang, kalau kritik pun, kritik yang berlapik-lapik, banyak yang berkias sampai rakyat pun tak faham. Cara ini tidak menimbulkan semangat rakyat. Kalau kita kritis dalam sesuatu isu, rakyat akan naik semangat. Kita menceritakan tentang kesengsaraan rakyat dan menggambarkan kehidupan mereka yang begitu teruk.

Setinggan umpamanya, kenapa mereka roboh rumah rakyat? Kita timbulkan kemarahan kerana tindakan itu menyusahkan rakyat. Lebih-lebih kita orang Islam, jiwa kita merebak rasa persaudaraan Islam memandangkan soal kemiskinan dan kemelaratan tidak boleh dibiarkan.

Bagaimana pula pandangan Pak Said tentang peranan Harakah sebagai akhbar alternatif untuk mengetengahkan isu-isu rakyat dan sebagainya?

Sewaktu terbit dua kali seminggu, Harakah berkembang pesat. Waktu itu Harakah lebih banyak cerita-cerita yang berupa dasar-dasar parti. Bila tindakan diambil KDN Harakah bertukar dua kali sebulan. Kita semua tahu bagaimana proses perkembangan Harakah. Ini menyebabkan jumlah percetakan menurun, jauh berkurangan zaman dua kali seminggu.

Perubahan dalam pengurusan Harakah sedikit sebanyak mematangkan organisasi itu sendiri. Baik masa Ketua Pengarang dipegang Zulkifli Sulong dan yang terkini dipegang semula oleh Ahmad Lutfi Othman. Pada saya Ahmad Lutfi cuba kembalikan suasana seperti dahulu.

Rakyat sudah tengok semula perkembangan Harakah yang memberi semangat baru kepada orang ramai. Bagi saya menerusi Harakah banyak benda boleh disebarkan. Saya fikir Ahmad Lutfi mempunyai banyak pengalaman berjuang untuk bebas. Semangat itu saya lihat ada dalam jiwanya. Sekarang Harakah mengalami perubahan yang sesuai dengan kepimpinan Harakah itu sendiri.

Begitu juga dengan perubahan pimpinan tertinggi PAS, satu perubahan yang bijak. Dan zaman inilah Harakah, di bawah Ahmad Lutfi menghadapi kerja-kerja yang terlalu berat dan tidak mudah. Saya harap dia akan berjaya.

Tetapi tugas Harakah tidak berubah seperti zaman dahulu iaitu zaman kegemilangannya. Tugas tetap tugas, dan apakah tugas sebagai surat khabar pembangkang yang menjadi alternatif kepada mainstream? Kita lihat satu kebaikan Harakah ialah adanya Harakahdaily.net. Itu pun dalam skop pembaharuan untuk menyebarkan informasi gerakan PAS.

Bagaimana Harakah menguruskan peranannya sebagai media alternatif di Malaysia?

Harakah kena lihat dirinya bertanggungjawab bukan saja kepada ahli PAS. Jangan tumpukan perhatian kepada ahli sahaja. Kalau Harakah dan PAS buat begitu, sama juga dengan Umno buat untuk akhbar mainstream. Seperti Utusan dijadikan alat untuk kepentingan Umno.

Pemberitaan Harakah harus ada pembaharuan. Sekarang saya sudah nampak perubahan itu. Ini bagus sebab masa mogok Utusan dulu, mereka tidak mahu diambil alih kerajaan kerana tidak lagi bebas untuk menyiarkan berita. Kini ada Siasah, jauh berbeza dengan Harakah. Siasah lebih liberal dalam pemberitaan. Harakah sebagai akhbar untuk ahli PAS sahaja, jadi saya cuma harapkan corak pemberitaannya dibuka kepada orang lain. Ia juga untuk kebaikan Malaysia.

Cuma kalau kita cakap soal kebebasan akhbar, kita harus amalkan dalam konteks kita. Jangan apa yang kita slogankan berbeda dengan amalan. Minda pengamal media PAS hendaklah bebas. Jangan kita terlalu memikirkan kepentingan parti sampai kita terlupa kita ada tugas lebih luas, untuk bangsa dan negara, juga selari dengan agama kita.

Dan apabila berdepan dengan gangguan, misalnya dari Bukit Aman sendiri (ketawa), kita tidak harus terlalu tertekan sangat. Sesuaikan dengan keadaan. Tidak boleh melawan melampau sangat. Kadang-kadang bila kita takut dia makin tekan kita. Ini perangai orang.

Untuk menjadi wartawan yang kreatif dan berani, dlingkari undang-undang yang ada, bagaimana kita dapat keluarkan diri kita daripada kongkongan ini?

Ini satu usaha yang berat. Katakanlah wartawan tak kisah dengan segala kongkongan itu asalkan dapat teruskan perjuangan. Apa pun berlaku, akan tegak di situ. Di Harakah misalnya, kena juga fikirkan tentang pemilik Harakah, dasar PAS. Tentunya pimpinan PAS tidak mahu Harakah ter keluar daripada bidangnya. Ia perlukan kebijaksanaan.

Dalam keadaan begitu fikiran wartawam mungkin berkecamuk. Begitu juga yang saya hadapi dulu, berdepan pemerintah dan bekas penjajah. Kita mesti ambil kira suasana semasa. Skop keberanian mesti jelas, cabaran itu harus ditangani dengan kebijaksanaan sesuai dengan keadaan. Saya suaikan diri saya dengan keadaan yang wujud sekarang sebab ia akan berubah mungkin tahun ini, tahun depan atau selepas pilihan raya.

Kedudukan PAS sendiri selepas pilihan raya 1999 yang memenangkan Terengganu sekarang sudah berubah. Terengganu dah hilang, dan Kelantan nampak semakin mendesak. Jadi, kita kena buat sesuai dengan keadaan, keberanian, dan kebijaksanaan.

Kebijaksanaan?

Kebijaksanaan itu perlu ada keberanian. Kena campur-adukkan dua perkara ini mengikut aspek dan keadaan. Apabila tidak ada kebijaksanaan dan keberanian, kita tidak akan dapat apa-apa.

Zaman saya berusia awal 30-an memang keras kepala sikit. Tetapi bila timbul soal prinsip, perkara ini harus dilakukan. Masa saya sebelum dipenjarakan, kawan-kawan di luar sana asyik bertanyakan: “Apalah yang boleh dibuat Said dalam penjara lama-lama?”

Di sinilah timbul kebijaksanaan itu, apakah prinsip yang dipertahankan? Saya tidak mahu langsung kompromi dalam soal politik. Waktu itu tuduhan terlalu berat bagi saya dan tidak harus saya terima. Kalau nak keluar penjara, macam-macam cara boleh, tetapi saya terpaksa mengorbankan prinsip.

“Kenapa Pak Said duduk dalam penjara lama-lama sedang anak-anak dan isteri susah di luar sana.” Ramai bersungut. Apabila keluar saya mula sedar di mana kesalahan saya dan prinsip itu. Prinsip hidup yang harus kita pertahankan dan tanggungjawab kepada keluarga yang patutnya kita pertahankan juga.

Waktu ini, kebijaksanaan saya mengatakan: “Said, kau boleh tahan dalam penjara selama 17 tahun kerana kau pertahankan prinsip hidup. Yang mana kau pilih, diri kau atau keluarga?”

Saya mengaku saya bersalah kepada keluarga yang ditinggalkan, kerana saya kena pertahankan prinsip hidup, pun di bawah agama juga. Dalam masa sama dengan mengorbankan tanggung jawab kepada keluarga. Ini pun tugas juga.

Kita membuat keputusan yang bersesuaian dengan keadaan. Kalau saya korbankan prinsip hidup, akan berdosa kepada Tuhan, agama dan segala-galanya; tetapi pengorbanan kepada keluarga ini berdosa juga. Tetapi kerana itu takdir, saya tidak mampu nak menolaknya.

Selepas itu saya berasa lega dan lapang. Ini kehendak Tuhan, tidak ada siapa yang boleh menolak. Itu soal prinsip hidup, tanggungjawab, kontradiksi dalaman hidup. Mana-mana reporter tanya, saya tidak pernah menceritakan soal kontradiksi hidup, kebijaksanaan dan prinsip hidup. Perkara ini timbul secara spontan.

Kebijaksanaan kita akan menjadi tajam, kalau diuji minda kita makin aktif. Jadi dalam tulisan, kita kena kreatif. Ada kalanya benda itu tak terfikir, tiba-tiba sahaja ia terkeluar.

* Wawancara ini pertama kali disiarkan oleh makalah khas yang diterbitkan sempena ulang tahun ke-20 Harakah. Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan langganan sila hubungi: Harakah (U/P: Bahagian Langganan), Tel: 03-40213343, Faks: 03-40212029, Harga RM10.00.

This entry was posted in Kebebasan Media, pengalaman Said Zahari-Salmiyah Harun dan Anis Nazri-Harakah, Press Freedom. Bookmark the permalink.