Bekas tahanan ISA berputih mata-Utusan Online

Bekas tahanan ISA berputih mata

Oleh AMIRUDDIN HARUN pengarang@utusan.com.my PUTRAJAYA 12 Ogos – Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) gagal dalam usahanya untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ganti rugi RM2.5 juta kepadanya selepas mendakwa didera ketika dalam tahanan polis, hampir 12 tahun lalu. Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Abdul Malek Hussin (gambar), 53, untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi tersebut. Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff memutuskan demikian sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Hakim Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff. Dalam keputusannya, Hakim Alauddin menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa ketiga-tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh perayu tidak memenuhi peruntukan di bawah Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964. Panel hakim tersebut turut memerintahkan Abdul Malek membayar kos RM20,000 kepada pihak responden. Pada 25 Mac lalu, Abdul Malek bukan sahaja kehilangan ganti rugi RM2.5 juta setelah rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, malahan dia turut diperintah membayar kos RM50,000. Keputusan Mahkamah Rayuan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 18 Oktober 2007 yang julung kali membenarkan saman tahanan ISA dan ganti rugi dibayar kepadanya. Perintah Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus (kini Hakim Mahkamah Rayuan) itu merupakan yang pertama memihak kepada tahanan setelah berpuas hati Abdul Malek didera ketika ditahan selama 57 hari, hampir 12 tahun lalu. Dia dibebaskan pada 21 November 1998. Terdahulu, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Abdul Malek menghujahkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan telah menyebabkan ketidakadilan yang serius yang perlu disemak dan diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan. Menurutnya, permohonan tersebut juga perlu dibenarkan kerana telah memenuhi peruntukan Seksyen 96 akta berkenaan yang memerlukan panel itu mendengar isu penting dan berkepentingan awam yang belum pernah dibangkitkan sebelum ini. Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili pihak responden pula menyatakan, pemohon gagal memenuhi peruntukan seksyen tersebut menyebabkan permohonan berkenaan wajar ditolak. Abdul Malek yang kini merupakan Penyelaras Hal Ehwal Parlimen kepada parti pembangkang ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengah hari sebelumnya. Bekas Setiausaha Eksekutif Pas itu memfailkan saman pada Mac 1999 bagi menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan Asisten Supritendan Borhan Daud dari Cawangan Khas, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga. Mahkamah Tinggi dalam keputusannya memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Abdul Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, RM500,000 bagi ganti rugi am kecederaan dan perubatan serta RM1 juta untuk ganti rugi teladan.

This entry was posted in ISA and tagged , . Bookmark the permalink.