Akta syarikat baru tahun depan-Utusan Online

Akta syarikat baru tahun depan

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Satu undang-undang baharu bakal menggantikan Akta Syarikat 1965, tahun hadapan, kata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmi Ariffin berkata, akta baharu tersebut mempunyai 19 kenyataan polisi meliputi enam bahagian yang mengandungi 183 cadangan penambahbaikan syarikat di Malaysia.

Menurutnya, akta tersebut juga akan mengekalkan beberapa bahagian yang masih relevan yang terkandung dalam Akta Syarikat 1965.

“Akta baharu itu masih dalam proses semakan terakhir dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, akta yang dikenali sebagai Akta Syarikat 2011 tersebut akan dibentang di Parlimen tahun hadapan sebelum diwartakan pada tahun yang sama.

Beliau berkata, akta tersebut lebih mesra pengusaha perniagaan kecil dan sederhana memandangkan 99.2 peratus syarikat berdaftar di Malaysia adalah daripada sektor berkenaan.

”Transformasi undang-undang ini dilihat mampu meningkatkan bilangan perniagaan yang berdaya saing pada masa depan.

”Selain PKS, syarikat senaraian awam juga akan menerima tempias positif daripada akta baharu itu nanti,” jelasnya.

This entry was posted in Company Law, Corporate Governance and tagged . Bookmark the permalink.