Australia mahukan FTA Malaysia disegerakan-Utusan Online

Australia mahukan FTA Malaysia disegerakan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Australia berharap dapat mengadakan pusingan kelapan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia, sebaik sahaja selepas pilihan raya umum negara itu pada 21 Ogos, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia, Miles Kupa. Perbincangan FTA Malaysia-Australia, yang bermula pada Mei 2005, disambung kembali pada 2009 selepas dua tahun sementara menunggu penyelesaian perundingan ke atas FTA ASEAN-Australia-New Zealand serantau. Pusingan ketujuh perundingan FTA diadakan di Kuala Lumpur, bermula 19 hingga 23 April tahun ini. FTA bukan hanya akan meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan Australia, yang kini bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion), tetapi akan turut mengukuhkan hubungan semasa antara kedua-dua negara, kata Kupa. Antara tujuan kemungkinan FTA dua hala dengan Malaysia ialah meningkatkan persekitaran aliran perniagaan dan khususnya aliran pelaburan antara kedua-dua negara, kata beliau kepada Bernama di sini hari ini. “Beberapa pelaburan besar tersalur ke arah kedua-dua hala ini,” kata beliau sambil menambah yang Austalia kini mempunyai pendekatan yang lebih matang menjurus kepada pelaburan. “Syarikat-syarikat Australia mahu berjaya di seluruh dunia, mereka mahu melangkaui keluar negara-negara lain serta di mana terdapatnya peluang-peluang kepakaran dan komersial,” katanya. Beliau berkata, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ialah bidang yang diberi tumpuan antara kedua-dua negara. Kupa berkata, banyak syarikat Malaysia melabur di Australia dalam bidang berkenaan sementara negara pulau itu juga berminat untuk berkembang dengan melabur di Malaysia. Majoriti eksport Malaysia ke Australia ialah dalam bidang-bidang elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), produk dan perkhidmatan. Beliau menambah yang pendidikan merupakan satu lagi bidang utama. Tahun ini sahaja, kira-kira 20,000 rakyat Malaysia belajar di negara berkenaan, tambah beliau. “Kita amat berminat untuk mencapai FTA yang berkualiti dengan Malaysia dengan membuka lebih banyak peluang untuk kedua-dua pihak, bukan sahaja dalam urus niaga produk tetapi juga perkhidmatan,” kata beliau. – Bernama

This entry was posted in Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) and tagged , . Bookmark the permalink.