Sekolah khas untuk pelajar mengandung -rosli@kosmo.com.my

Sekolah khas untuk pelajar mengandung

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran.

Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.

“Kami serius mengenai cadangan ini, jika kementerian tak setuju, kami sendiri akan mengusahakan penubuhannya,” ujar beliau selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini semalam.

Mohd. Ali berpendapat adalah lebih baik remaja yang mengandung mempunyai saluran meneruskan persekolahan daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran.

Beliau bagaimanapun tidak mahu cadangan itu disalah tafsir sebagai galakan untuk remaja berkahwin atau hamil anak luar nikah.

“Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu mereka buang bayi,” katanya.

Bagi membantu remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM500 kepada mereka untuk membantu urusan perkahwinan.

“Perkara ini telah dibincangkan bersama MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu,” katanya.

This entry was posted in Pre-marital sex, Pregnancy outside wedlock, Sex before marriage and tagged . Bookmark the permalink.