Keputusan rayuan Kaliammal 6 Ogos-Utusan Online

Keputusan rayuan Kaliammal 6 Ogos

PUTRAJAYA 21 Julai – Mahkamah Rayuan akan menentukan pada 6 Ogos ini sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan pendaki Gunung Everest, Sarjan M. Moorthy seorang Islam semasa meninggal dunia, lima tahun lalu.

Pada tarikh itu balu lelaki itu, S. Kaliammal, 35, juga akan mengetahui sama ada Mahkamah Tinggi akan mendengar merit saman pemula yang difailkannya bagi memperoleh deklarasi bahawa Moorthy atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah masih seorang Hindu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner menetapkan tarikh itu bagi membolehkan mereka meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak terlibat dalam kes itu.

Kaliammal mencabar keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 28 Disember 2005 yang menyatakan ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan suaminya seorang Islam.

Hakim Datuk Seri Md. Raus Shariff (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berpendapat, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas sebarang perkara yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.

Dengan keputusan itu, Kaliammal gagal mendapatkan deklarasi bahawa suaminya masih penganut Hindu serta tuntutan agar allahyarham dikebumikan menurut adat istiadat agama itu setelah Mahkamah Tinggi menolak saman pemula yang difailkan olehnya.

Pada 22 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Allahyarham disemadikan enam hari kemudian, iaitu lapan hari selepas dia meninggal dunia pada 20 Disember 2005.

Kaliammal dalam rayuannya menamakan MAIWP, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku responden pertama hingga ketiga.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili MAIWP berhujah bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian adalah keadilan kepada allahyarham yang telah diisytiharkan sebagai Islam, maka dia harus disemadikan menurut hukum syarak.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Arik Sanusi Yeop Johari yang mewakili Kerajaan Malaysia berhujah, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan jelas menyentuh hak beragama dan ia perlu dihormati semua pihak.

Menurut beliau, status allahyarham tidak wajar dipertikai selepas kematian walaupun oleh balunya sendiri memandangkan Mahkamah Syariah sudah mengisytiharkan dia seorang Islam.

Arik Sanusi menghujahkan, Kaliammal mempunyai peluang untuk mencabar status tersebut di Mahkamah Syariah tetapi tidak berbuat demikian sebaliknya memilih untuk menggunakan pendekatan sivil.

Perkara itu disahkan oleh peguam Fakhrul Azman Abu Hassan bahawa Kaliammal dalam satu pertemuan di HKL memilih untuk mengambil tindakan sivil daripada bertindak sebagai saksi di Mahkamah Syariah.

This entry was posted in Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan and tagged . Bookmark the permalink.