Identiti gadis mati dibunuh dikenal pasti-Utusan Malaysia

 

Identiti gadis mati dibunuh dikenal pasti

KOTA BHARU 21 Julai – Mayat seorang gadis yang dibunuh kejam dalam Sungai Bagan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulai Chondong, Machang petang semalam telah dikenal pasti selepas keluarganya membuat pengecaman di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Supritendan Che Malik Bedot berkata, mangsa dikenali sebagai Ilya Nabilah Rosnata berusia 19 tahun dan berasal dari Pendek, Kota Bharu.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Ilya Nabilah telah hilang dari rumah keluarganya di kampung tersebut sejak Jumaat lalu dan satu laporan polis telah dibuat oleh keluarganya.

“Ibu mangsa telah datang membuat pengecaman di hospital itu dan mengesahkan identiti mangsa, mayatnya telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan selepas bedah siasat selesai dijalankan tadi (petang ini).

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan sedang menunggu laporan bedah siasat daripada hospital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang wanita ditemui mati dibunuh dalam keadaan berbogel dengan kesan tikaman di dada kiri manakala kakinya diikat pada sebatang pokok di tebing sungai.

Mangsa yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lalu ditemui terapung-apung di dalam Sungai Bagan yang terletak dalam sebuah ladang kelapa sawit di Pulai Chondong, Machang, petang semalam.

Mayat wanita itu ditemui kira-kira pukul 1.15 petang oleh seorang penduduk kampung yang sedang memikat burung di kawasan tersebut.

Sementara itu, datuk mangsa, Hamid Daud, 65, ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II berkata, Ilya Nabilah disedari hilang apabila dia tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas keluar untuk melawat bapanya, Rosnata yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Anak saya, Sarbanum, 40-an yang juga ibu Ilya Nabilah telah membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri selepas menyedari cucu saya itu tidak pulang ke rumah.

“Bagaimanapun selepas melihat berita kira-kira pukul 8 malam tadi, dia (Sarabanum) telah pergi ke bilik mayat HRPZ II untuk membuat pengecaman dan mengesahkan bahawa itu cucu saya,” katanya.

Difahamkan, Ilya Nabilah dibawa oleh teman lelakinya dengan menaiki motosikal untuk melawat bapanya yang sedang menerima rawatan akibat penyakit barah di HUSM.

This entry was posted in Ibu Bapa, Jenayah, Keganasan Pada Wanita and tagged . Bookmark the permalink.