Pecat Nor Yakcop, Zarinah-Utusan Online

 

Pecat Nor Yakcop, Zarinah

KUALA LUMPUR 15 Julai – Perdana Menteri diminta supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar daripada portfolio masing-masing ekoran penjualan dan pembelian saham berkepentingan negara beberapa tahun lalu.

Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) berkata, sebagai contoh, pengambilalihan Hospital Pantai daripada Pantai Holdings Bhd. (Pantai) oleh syarikat Singapura, Parkway Holdings Ltd. (Parkway) pada 2005 melalui pembelian saham bernilai RM312 juta sepatutnya tidak berlaku dan dihentikan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Lebih mengejutkan, dakwa beliau, penguasaan Pantai kemudiannya ditebus (bail out) oleh Khazanah Holdings Bhd. (Khazanah) selepas Nor Yakcop menyatakan pengambilalihan bernilai RM800 juta itu bukannya satu penebusan, sebaliknya merupakan kesediaan pembeli dan penjual dalam pasaran.

“Ini adalah kenyataan bekas Menteri Kewangan II (Nor Yakcop) yang memperbodohkan rakyat Malaysia. Khazanah terpaksa membayar RM800 juta untuk mengambil alih Pantai daripada Parkway.

“Tidak semena-mena sebuah syarikat asing (Parkway) membuat keuntungan sebanyak RM500 juta daripada wang rakyat dan lebih teruk, Khazanah tidak menguruskan Hospital Pantai sebaliknya melantik Parkway menguruskannya. Mengapa?” tegasnya.

Beliau percaya ia berlaku dengan pengetahuan Nor Yakcop dan Zarinah.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di Dewan Rakyat hari ini

Selain dakwaan itu, Choo Keong memberitahu, Nor Yakcop dan Zarinah juga perlu dipecat kerana:

* Nor Yakcop mempunyai sekurang-kurangnya 500 peti besi mengandungi wang tunai berikutan setiausaha politiknya, Hasbie Satar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menyimpan 48 peti besi mengandungi wang tunai.

* Pelupusan 10 peratus saham Telekom Bhd. yang dijual kepada syarikat Singapura, Temasek Holdings dan tindakan Maybank Bhd. membeli saham Bank International Indonesia pada harga yang amat tinggi.

* ‘Gangguan’ terhadap empat wartawan perniagaan berkaitan penjualan saham Kenmark Industrial Co. (M) Bhd. bertujuan melindungi skandal Zarinah dan suaminya, Datuk Azizan Abdul Rahman.

Choo Keong mendakwa kes-kes tersebut membuktikan Nor Yakcop dan Zarinah sengaja ‘membutakan’ mata untuk melindungi para pengkhianat serta perompak negara.

“Ini adalah contoh klasik kepada peribahasa Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi,” tegasnya.

This entry was posted in Bail Out, Company Law, Corporate Governance, Governance, Integrity, Take-Over & Acquisition and tagged , . Bookmark the permalink.