Tindakan Badrul keterlaluan – Isteri (Utusan Online)

Tindakan Badrul keterlaluan – Isteri

KUALA LUMPUR 15 Julai – Isteri kepada pelakon dan model popular, Badrul Muhayat Ahmad Jailani kesal dengan tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh suaminya yang kini menghilangkan diri selepas bertindak memukulnya.

Julia Daud, 29, berkata, tindakan Badrul Muhayat yang sanggup memukulnya dan melarikan wang untuk membayar kompaun mahkamah kelmarin adalah keterlaluan.

“Saya sedih Bad buat macam ni. Masa dalam jel (penjara) dulu, dia merayu saya untuk bantu dia keluar dari situ,” kata Julia ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Badrul Muhayat dikatakan mengulangi perbuatannya memukul isterinya itu, sehari selepas dia melafazkan permohonan maaf kerana didakwa mencederakan wanita berkenaan.

Kejadian berlaku kelmarin ketika Badrul Muhayat bersama isteri dan seorang rakan mereka mengeluarkan wang tunai dari mesin pengeluaran automatik (ATM) di Ampang Jaya.

Wang itu untuk pembayaran kompaun bagi membebaskan Badrul Muhayat daripada pertuduhan mencederakan Julia pada Mac lalu.

Menceritakan lebih lanjut, Julia berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang apabila Badrul dikatakan menghubungi seorang rakan mereka yang juga penjaminnya.

“Rakan wanita terbabit kemudian menghubungi saya dan memberitahu dia rimas dengan gangguan Bad sebelum saya menasihatinya agar tidak menyerahkan wang kepada Bad.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 3.30 petang rakan itu ada menghubungi saya dan menyatakan Bad ada bersamanya menuju ke sebuah bank di Ampang Jaya.

“Saya bergegas ke bank berkenaan dan terkejut apabila Bad berdiri bersebelahan rakan saya di kaunter bank terbabit sebelum merampas wang berjumlah RM2,480 dari tangan rakan wanita saya itu,” katanya.

Tambah Julia, dia yang kecewa dan berang dengan tindakan Badrul Muhayat kemudian cuba merampas wang tersebut sebelum ditolak oleh pelakon yang terkenal melalui filem Harry Boy.

Katanya, insiden itu berlanjutan hingga ke luar premis bank sebelum rakan dan pekerja bank mengawal keadaan serta Badrul Muhayat melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang wanita.

Julia berkata, dia kemudian cuba menghubungi Badrul Muhayat namun tidak dijawab pelakon terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang mengesan Badrul Muhayat untuk direkod keterangan berhubung insiden itu.

Katanya, pihaknya telah mendapat perintah untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

This entry was posted in Family Violence, Keganasan Rumahtangga, Spousal Abuse and tagged . Bookmark the permalink.