Sambutan Maulidur Rasul: Adakah Dilegitimasikan oleh Perlembagaan Persekutuan

Sambutan Maulidur Rasul: Adakah Dilegitimasikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Oleh: Yasmin Norhazleena Bahari Md Noor

Sambutan Maulidur Rasul setiap dua belas Rabiul Awal adalah untuk memperingati hari kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad saw. Terdapat pendapat bahawa perayaan  Maulidur Rasul adalah bidaah sesat (dhalalah) bersandarkan pada alasan bahawa ‘ia tidak disyariatkan oleh Al Quran dan Sunnah serta tidak dikenal pada zaman hidupnya Rasulullah saw’. H.M.H. Al Hamid Al Husaini dalam bukunya “Sekitar Maulid Nabi Muhammad saw dan Dasar Hukum Syari’atnya”[1], berpendapat “Kalau apa saja yang ‘tidak diperintahkan oleh Quran dan Sunnah’, atau apa saja ‘yang tidak dikenal oleh kaum Muslimin semasa hidupnya Nabi saw pada zaman ini dilakukan oleh kaum Muslimin itu disebut ‘bidaah dhalalah’ maka dalam abad ke 15 Hijrah ini, tak ada  seorang Muslim pun yang tidak terlibat di dalam ‘bidaah dhalalah’. Kalau setiap bidaah dinilai ‘dhalalah’ atau ‘mazmumah’, maka kita bertanya pada diri masing-masing:  Bidaah dhalalah atau bidaah mazmumah manakah yang tidak kita lakukan sekarang ini? Akan tetapi bukan itulah persoalannya. Persoalannya ialah, apakah sesuatu yang baru atau bidaah itu sesuai dengan prinsip ‘amar makruf dan nahi munkar’ ataukah tidak.”

Menurut Sheikh Muhammad Alawi Maliki, bekas mufti Mekah, peringatan Maulid Nabi saw adalah dibolehkan (jaiz) kerana peringatan Maulid Nabi saw mencerminkan kegembiraan umat Islam menyambut kelahiran Nabi pilihan Allah, Muhammad Rasullullah saw yang tidak hanya membawa keberuntungan besar bagi umatnya sahaja, bahkan orang kafir pun turut memperoleh manfaat. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat maklumat bahawa Abu Lahab, orang Musyrik Quraishi yang paling gigih memusuhi Nabi Muhammad saw, memperoleh keringanan seksa kubur tiap hari Isnin (yakni hari kelahiran baginda saw) kerana pada masa hidupnya dahulu, tatkala mendengar khabar kelahiran Nabi Muhammad saw., seketika itu juga ia memerdekakan hamba perempuannya, Tsuwaibah untuk menzahirkan kegembiraannya. Adalah satu kerugian sekiranya kita sebagai umat Islam tidak meraikan hari kelahiran insan mulia pembawa rahmat bagi sekalian alam, Nabi Muhammad saw. Allah swt berfirman dalam ayat 107 Surah Al Anbiyaa’ yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.”

Perlembagaan dan Agama Islam

Menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Menurut Perkara 12(2) pula, Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Berdasarkan Perkara 12(2) tindakan kerajaan Persekutuan dan Negeri mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu, adalah sah. Oleh itu, sekiranya kerajaan Persekutuan dan Negeri, mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ianya  tidak salah malah dilegitimasikan oleh Perlembagaan Malaysia.

Abdul Aziz  Bari dalam bukunya “Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah”[2], menyatakan “….Islam berhak diberi kedudukan yang istimewa berdasarkan peruntukan perlembagaan. Dan peruntukan perlembagaan ini berasaskan kepada sejarah dan sosiopolitik negara ini. Ertinya , kdudukan Islam telah dilebihkan dari agama-agama lain meskipun perlembagaan turut menjamin hak kebebasan agama”. 

Peruntukan Perkara 12(2) juga membuka jalan buat kita memohon bantuan kewangan kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam

Sama-samalah kita merayakan Maulidur Rasul setiap tahun dengan memperbanyakkan selawat   ke atas Rasulullah saw mencontohi Allah swt serta para malaikatNya yang berselawat ke atas baginda saw sebagaimana difirmankan oleh Yang Maha Pengasih lagi Penyayang dalam ayat 56 Surah Al Ahzab maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat untuk nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”


[1] H.M.H. AlHamid AlHusaini, “Sekitar Maulid Nabi Muhammad saw dan Dasar Hukum Syari’atnya”, Thinker’s Library, Johor baru, 1986.

[2] Abdul Aziz  Bari, “Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan Masalah”, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,2003.

This entry was posted in Islam, Perlembagaan Persekutuan and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.