Saman Mungkir Janji Berkahwin

Saman Mungkir Janji Berkahwin

 Oleh: Yasmin Norhazleena Bahari Bt Md Noor

Hari bahagia yang ditunggu tidak kunjung tiba, aib dan malu pula yang melanda. Pada Disember 2004 seorang jururawat, Norlida Abdul Rahman mengemukakan saman ganti rugi ke atas pemain bola sepak negeri Kedah, Hasmawi Hassan bekas tunangnya kerana menyebabkan aib, tekanan mental dan perasaan berikutan tindakan Hasmawi membatalkan pernikahan mereka kira-kira 19 jam sebelum majlis itu sepatutnya diadakan .

Common Law memberi ganti rugi kepada plaintif sekiranya plaintif (yang menuntut) membuktikan defendan (yang dituntut) mungkir janji untuk melansungkan perkahwinan  dengannya

Dalam kes yang diputuskan pada tahun 1969 di Melaka iaitu kes Nafsiah lawan Abdul Majid, kedua-dua plaintif dan defendan beragama Islam. Plaintif menuntut ganti rugi kerana defendan mungkir janji untuk berkahwin dengannya. Plaintif mengemukakan bukti di mahkamah dokumen perjanjian bertulis defendan berjanji untuk berkahwin dengannya. Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk (aggravated damages) kerana defendan telah menggodanya lalu menyebabkan dirinya hamil serta melahirkan anak lelaki.

Peguam defendan bagaimanapun menyatakan perjanjian untuk berkahwin tersebut adalah tidak sah kerana plaintif tahu defendan sudah beristeri ketika membuat perjanjian tersebut. Hakim memutuskan perjanjian tersebut adalah sah meskipun defendan sudah beristeri ketika membuat perjanjian kerana defendan sebagai lelaki Islam boleh kahwin lebih daripada seorang isteri. Hakim turut menyatakan perjanjian tersebut hanya tidak sah sekiranya ia dimeterai dalam masyarakat yang hanya membenarkan monogami dan melarang poligami.

Hakim membuat keputusan defendan telah berjanji untuk berkahwin dengan plaintif (berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh plaintif) serta memungkiri janjinya untuk berkahwin dengan plaintif. Hakim mengambil kira keadaan sosial di Malaysia, kebiasaan serta adat resam masyarakat lalu membuat kesimpulan terdapat kemungkinan besar plaintif dihina dan diaibkan kerana mengandung dan melahirkan anak tanpa menikahi bapa anak tersebut

Mahkamah memutuskan tuntutan ganti rugi kerana mungkir janji untuk berkahwin (breach of promise to marry) tidak berbeza dengan tuntutan ganti rugi kemungkiran kontrak (breach of contract). Hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak $1200 (RM1200) kepada plaintif. 

Dalam kes Nafsiah, plaintif adalah wanita serta kedua-dua pihak beragama Islam. Dalam kes pada tahun 1999 pula iaitu kes Dato Abdullah Hishan bin Haji Mohd Hashim lawan Sharma Kumari Shukla , seorang lelaki beragama Islam bertindak sebagai plaintif membuat beberapa tuntutan terhadap defendan, seorang wanita bukan Islam yang memungkiri janji untuk berkahwin dengannya.

Berdasarkan kes-kes di atas, adalah jelas di Malaysia orang Islam boleh menuntut ganti rugi mungkir janji perkahwinan atau pembatalan perkahwinannya di Mahkamah Sivil kerana Common Law mengiktiraf perjanjian untuk berkahwin sebagai satu kontrak. Undang-undang memberi ganti rugi kerana mengambil kira maruah seseorang tercemar apabila perkahwinannya dibatalkan.

This entry was posted in Saman Mungkir Janji Berkahwin and tagged , , , . Bookmark the permalink.