Ibu bapa malang, kanak-kanak menjadi mangsa

Ibu bapa malang, kanak-kanak menjadi mangsa: Diari Kehidupan di Malaysia

Oleh: Yasmin Norhazleena Bahari Md Noor

Hati ini diruntun membaca berita dua kanak-kanak tinggal di tepi kedai bersama bapa mereka. Tempat tinggal terebut bukanlah tempat perlindungan sempurna, mahupun sebuah bilik, jauh sekali sebiji rumah. Ia hanya kaki lima dan akhbar menyifatkan tempat itu sebagai bangsal dipenuhi bahan kitar semula. Si Ayah yang menganggur keluar mencari bahan buangan untuk dijual, untuk menyara anak-anaknya. Bimbang anaknya digigit nyamuk, si bapa memasang ubat nyamuk. Siapa sangka anaknya mati terbakar dek ubat nyamuk. 

Parlimen ada menggubal Akta Orang Papa 1977. Menurut akta ini, seseorang dianggap papa sekiranya dia mengemis di tempat awam. Selain itu akta tersebut mentakrifkan sebagai orang papa, “Seseorang peleser yang dijumpai di tempat awam (any idle person found in a public place), sama ada ia mengemis atau tidak, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan”

Menurut Akta tersebut, “Sekiranya Pegawai Kebajikan Masyarakat mempercayai seseorang itu adalah seorang papa, maka beliau boleh memohon perintah majistret bagi ia dimasukkan ke dalam institusi untuk sementara waktu, iaitu tidak melebihi 30 hari atau sebulan, sementara beliau menjalankan penyiasatan. Selepas siasatan diadakan dan majistret berpuas hati bahawa orang itu seorang papa, beliau berhak membuat perintah memasukkan orang itu ke dalam rumah kebajikan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun. Walaubagaimanapun, akta Orang Papa hanya boleh diaplikasikan terhadap orang papa yang berusia di atas 18 tahun. 

Meskipun bapa malang yang dinyatakan di atas mendapat rezeki dangan menjual sampah untuk dikitar semula, beliau termasuk dalam kategori orang papa kerana tidak mempunyai tempat tinggal serta berumah di kaki lima kedai yang boleh dianggap sebagai tempat awam. Kewujudan akta orang papa membuktikan negara kita tidak ketandusan undang-undang untuk melindungi rakyat yang daif lagi tidak berumah. Persoalannya adakah bapa malang ini berjaya mencuri perhatian Pegawai Kebajikan Masyarakat?

Menurut Piagam Pelanggan Perkhidmatan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat, jabatan bertanggungjawab menjaga kepentingan kanak-kanak dengan memberi jagaan dan perlindungan atau menyelamatkan atau memberi bantuan kepada kanak-kanak yang teraniaya dan terbiar, mengemis, tiada tempat tinggal yang tetap , terbuang atau terdampar, mangsa perbalahan keluarga serta yatim piatu.

Meskipun undang-undang serta piagam termaktub,mengikut fakta yang ada, kita boleh membuat kesimpulan bahawa bapa malang ini dan anak-anaknya tidak mendapat perlindungan sewajarnya daripada pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan masyarakat sehingga tragedi kebakaran tersebut berlaku. 

Satu lagi pandangan, keluarga malang itu orang melayu serta mempunyai nama-nama seperti orang Islam. Saya anggap mereka sebagai orang Islam. Sebagai orang islam yang daif, mereka layak mendapat zakat serta bantuan Baitulmal. Adakah kelaraan mereka menyentuh hati pihak Baitulmal?

Satu lagi berita melibatkan kanak-kanak. Seorang ibu tunggal didakwa atas tuduhan cuba membunuh dua anaknya. Akhbar melaporkan si ibu yang juga merupakan penganggur, memaksa anaknya terjun dari paras tinggi rumah pangsa. Mahkamah mengarahkan si ibu diperiksa tahap kesihatan mentalnya. 

Apa yang saya ingin ketengahkan di sini, ibu bapa kanak-kanak tersebut boleh dianggap sedang mengalami kesempitan hidup, mereka tidak mempunyai pekerjaan! Tiada orangkah yang sudi menghulur bantuan kepada mereka sebelum anak-anak mereka ditimpa musibah dan menjadi “bahan berita”? Adakah rakyat Malaysia berhati kering? 

Dalam kes kedua misalnya, jika benar ibu tersebut memaksa anak-anaknya membunuh diri, apakah yang mendorongnya berbuat sedemikian? Kenapakah dia merasakan dunianya begitu gelap, sehingga hanya kematian sahaja menjadi pilihannya? Derita sangatkah kehidupannya dan anak-anak, sehingga nyawa mereka tiada harga? 

Seseorang membunuh diri kerana berasakan hidup ini sudah tidak bererti lagi. Tiada siapa dapat membantu. Persoalannya di sini, dalam kelompok masyarakat apakah mereka tinggal? Masyarakat tidak mengambil endah kesengsaraan mereka sehingga tragedi melanda. Media prihatin melaporkan berita, barulah kita celik mata. 

Yang pasti, mangsa yang jelas adalah kanak-kanak. Di United Kingdom, ramai gadis remaja melahirkan anak luar nikah. Mereka menerima bantuan kerajaan untuk menyara anak-anak mereka. Anak-anak tersebut berhak mendapat elaun sara hidup serta perkidmatan kesihatan. Persoalan moral ibu-ibu remaja tersebut di tolak ke tepi, apa yang dipentingkan adalah kerajaan menitikberatkan kebajikan kanak-kanak tidak berdosa dan tidak minta dilahirkan ke dunia itu  

Jonathan Swift penulis politik berpengaruh di England pada abad ke 18 mengecam kegagalan pentadbiran British ketika itu menyara kanak-kanak terbiar di Ireland Swift dengan sinis menyarankan kanak-kanak tersebut diberi makan sampai gemuk sehingga mereka boleh dimakan. Apa yang cuba disampaikan oleh Swift ialah memberi makan kanak-kanak tersebut agar mereka dapat dimakan kelak adalah suatu kekejaman, tetapi membiarkan sahaja kanak-kanak tersebut kebuluran sampai mati adalah lebih kejam! Tulisan Swift berjaya menganjak paradigama pemimpin kerajaannya agar lebih prihatin menjaga kebajikan kanak-kanak. 

Kanak-kanak di United Kingdom, Australia, Austria dan Finland berhak mendapat elaun sara hidup. Saya mengharap buat masa terdekat ini kanak-kanak di Malaysia juga diberikan hak yang sama. Walau bagaimanapun, khalayak mungkin membuat perbandingan, kanak-kanak tersebut tinggal di negara maju! Malaysia tidak mampu memberi elaun kepada setiap kanak-kanak! 

Sebagai sebuah Negara Islam, mendokong citra Islam Hadhari, kerajaan sebaik-baiknya beriltizam mencontohi kerajaan awal Islam pimpinan Saidina Umar Al Khattab (perbendaharaan negara tidaklah semewah ketika zaman empayar Ummayyah atau Abasiyyah) , setiap kanak-kanak meskipun dalam kandungan ibunya berhak mendapat bantuan kewangan untuk menyara hidup mereka! Perkara ini tidak mustahil, siapa lagi yang boleh diharap membela dan menyara kanak-kanak melainkan kerajaan.

This entry was posted in Ibu Bapa, Kanak-Kanak. Bookmark the permalink.