Badrul Muhayat pukul semula isteri-Utusan Online

 

Badrul Muhayat pukul semula isteri

KUALA LUMPUR 14 Julai – Selepas sehari pelakon dan bekas model popular, Badrul Muhayat Ahmad Jailani melafazkan permohonan maaf kepada isterinya, Julia Daud kerana didakwa mencederakan wanita berkenaan, dia sekali lagi mengulangi perbuatan tersebut.

Sumber polis memberitahu, Badrul Muhayat, 42, bertindak memukul Julia, 29, setelah isterinya itu cuba menghalangnya daripada melarikan wang untuk membayar kompaun bagi membebaskannya daripada pertuduhan mencederakan wanita berkenaan Mac lalu.

Kejadian berlaku semalam semasa Badrul Muhayat bersama Julia mengikut seorang rakan untuk mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) di Ampang Jaya dekat sini.

Rakan mereka dikatakan mengeluarkan wang tersebut untuk diberikan kepada Badrul Muhayat bagi menjelaskan bayaran kompaun RM1,000 kepada isterinya seperti diarahkan Mahkamah Majistret Ampang, kelmarin.

Sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan, Badrul Muhayat bertindak merampas wang itu daripada tangan rakannya.

Julia yang terkejut dengan tindakan suaminya itu cuba menghalang Badrul Muhayat daripada melarikan wang tersebut.

Namun, Badrul Muhayat yang berang dengan tindakan Julia menghalangnya terus memukul wanita itu sebelum melarikan diri.

Julia kemudian melaporkan perbuatan suaminya itu di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

This entry was posted in Family Violence, Keganasan Rumahtangga, Spousal Abuse and tagged , , . Bookmark the permalink.